Pencinta ilmu (Guna Chrome atau Firefox)

Selasa, 10 April 2012

Nak buat PhD?


 ATAU



Persoalan ini mungkin dah tersiap dirakam dalam otak oleh tutor dan pensyarah baru IPTA/IPTS apabila mereka perlu/wajib mengambil sarjana dan kedoktoran untuk mencapai tujuan atau cita-cita pekerjaan mereka ke tahap yang paling tinggi di bidang akademik. Namun, untuk mereka yang bukan dari profesion bidang akademik, keputusan mengambil ijazah kedoktoran adalah satu keputusan yang agak besar yang dibuat dalam hidup mereka. Jarang pula masyarakat umum mengenali takrif / profesi ‘Penyelidik’ akademik. Kebiasaan yang didengari adalah penyelidik makmal atau saintis.


Biar apa pun tujuan kita mengambil ijazah kedoktoran, niat kita di permulaan keputusan itu mestilah betul. Belajar/menuntut ilmu itu kerana Allah SWT. Bukan untuk menunjuk-nunjuk atau membanggakan diri kepada orang lain bahawa kita bergelar “Doktor”.


Di sini, saya ingin berkongsi sedikit tip-tip umum sebelum memulakan perjalanan PhD anda bagi mereka yang baru menilai untuk menyambung ke peringkat PhD dalam dan luar negara:


• Tetapkan niat anda yang betul. Jika permulaan yang baik, insyaAllah perjalanan anda akan mudah sampai ke garisan penamat.


• Bertanya kepada pensyarah-pensyarah atau rakan sekerja yang telah melalui pengalaman PhD. Setiap pelajar mempunyai pengalaman yang berbeza.


• Mencari bakal penyelia yang pakar atau dikenali dalam bidangnya. Dari situlah mencari university yang terkenal atau diiktiraf kualitinya. Ada juga yang mencari universiti atau fakulti yang terkenal dahulu dan kemudian mencari penyelia yang sesuai. Biar apa pun pendekatan anda dalam hal ini, universiti, fakulti dan penyelia sangat penting sesudah anda mendaftar pengajian anda.


• Jika anda dibiayai oleh universiti atau kementerian dan badan-badan lain, anda perlu pandai mengatasi tekanan untuk menghabiskan PhD anda dalam masa yang dibenarkan. Jika anda membiayai sendiri atau dari pinjaman, maka anda perlu memikir adakah anda boleh menghabiskan dalam 3-4 tahun sepenuh masa?


• Jika anda bujang, maka tanggungjawab hanya pada diri anda. Tetapi jika anda berkeluarga, apatah lagi perempuan dengan anak-anak yang ramai dan masih kecil, anda harus merancang awal cara-cara menangani tekanan dan desakan antara pelajaran dan keluarga dalam masa yang sama. Suami atau isteri memainkan peranan yang sangat penting sepanjang perjalanan ini. Perkongsian tanggungjawab, kerja dan masalah perlulah difikirkan bersama. Fikirkan perkara ini sebelum anda memutuskan untuk mendaftar diri.


• Jika anda sudah mempunyai pengalaman dalam membuat kajian akademik, maka anda mempunyai kelebihan daripada pelajar lain yang baru belajar membuat kajian.


• Anda akan bermula dengan tajuk / skop yang luas dan kemudian anda perlu memilih tajuk yang lebih spesifik dan skop yang terurus supaya kajian anda lebih tersusun rapi untuk sebuah tesis akademik. Buatlah sedikit semakan literatur di bidang yang anda rasa anda mahir dan ingin menjadi pakar dalam bidang tersebut.


• Pastikan anda sihat dan tiada masalah kesihatan dan keluarga yang besar yang boleh mengganggu dan membantutkan pelajaran anda.


• Banyak baca Al-quran dan tadabbur memahami al-quran disamping selalu mengingati Allah SWT kerana anda memerlukan semangat kental untuk menempuh segala cabaran yang mendatang dalam perjalanan anda. Hati yang tenang dan semangat yang kental serta fizikal dan mental yang kuat sangat membantu anda di kemudian hari.


• Selebihnya adalah kepandaian dan kebijaksanaan anda sendiri.


Selamat berjaya bakal Doktor.


~yba~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan